Engagement Fund ;)

Wednesday, 12 November 2014

Langkawi 2014 - Episod 2: Tak Cukup Tanah

Okey, sambung balik cerita cuti-cuti Malaysia sebab baru rajin nak edit gambar untuk episod 2 ni. Bila nak berjalan dengan kawan-kawan, dia punya rasa teruja tu lain macam. Nak menambah pening, masing-masing tak tahu nak kemas barang macam mana. Bertalu-talu mesej masuk dekat wasap bincang nak bawa baju berapa banyak semua. Ikutkan hati nak bawa beg Korea je senang nak sumbat barang. Tapi bila fikir balik, toksah beria sangatlah bawak beg besar-besar. Yelah, beg tu kan muat nak sumbat Kwon Sang Woo tapi sekarang ni nak pergi Langkawi je pun, takde KSW kat sana. Jadi aku bawak je bagasi yang biasa guna kalau pergi kerja luar.

Pagi tu yang paling semangat adalah Aten sebab aku baru nak mandi dia dah dalam perjalanan ke KLIA. Gelabah terus. Nasib baik waktu aku sampai tu diorang baru beratur nak check in bagasi jadinya tak kalut sangat. Hehehe... Paling sempoi adalah Hani sebab kitorang dah siap sarapan semua baru dia sampai. Tapi takpe, dia dah biasa turun naik kapal terbang ni jadi tak ada gelabah pun.

Lepas Hani selesai check in beg semua, sempat lagi bergambar depan kaunter. Borak-borak bagai sebab dah lama tak jumpa katanya. Diorang la, aku dengan Aten ada je jumpa Hani. Waktu ni la tahu Chik berjalan berdua itupun sebab Hani perasan Chik macam tak bermaya je; doktor kan, haruslah boleh tahu. Kami pun teruslah masuk dalam. Macam biasa, kena melepasi pemeriksaan bagai bagai tu. Pergi luar negara semedang hulur pasport, pergi dalam negara jangan nak eksyen hulur tiket kapal terbang je ye, bawa keluar sekali kad pengenalan sebagai pengganti pasport. Okey, ini pengalaman pertama yours truly naik kapal terbang ke destinasi dalam dalam negara jadi kalau menyampah nak baca, tengok je ye.
Sesi jejak kasihan dengan Hani

Sambil jalan sambil borak, sambil tengok-tengok kedai yang ada dalam tu. Bila dah sampai kawasan pintu-pintu masuk ke kabin, dengar pengumuman; "Final call for flight MH1432." Hoi, flight kita tu! Mula-mula jalan laju-laju je tapi bila dia ulang pengumuman tu terus masing-masing berlari-lari. Dah lupa dah yang kawan ni tengah mengandung sebab dia pun ikut gelabah jugak. Kahkahkah... Nak lagi seronok, pintu untuk penerbangan ke Langkawi paling hujung iaitu A11. Dekat-dekat nak sampai depan kaunter tu berhenti kejap ambik nafas. Masuk je dalam tu dah penuh pun manusia. Sempatlah bertenang kejap sebelum kapal terbang berlepas. Alhamdulillah perjalanan pergi dimudahkan dan mengikut jadual.

Untuk kulit album ala-ala BSB Millennium....hahaha

 Lagi...

Wefie sementara tunggu beg

Pelancong katanya

Sampai Langkawi, terus ke tempat nak kutip beg. Lama juga nak tunggu beg keluar sampai sempatlah selfie, wefie segala. Keluar dari balai ketibaan, teruslah menuju ke pintu keluar. Nan hado orang nak sambut sambil pegang banner ke hape. Hehehe... Sementara tunggu kereta, ambik gambar lagi. Pelancong kan, wajib okey! Tak lama kemudian, Abang Kereta pun sampai dengan Nissan Serena sewaan kami. Yeayyy! Selesaikan urusan pembayaran dan masukkan beg-beg dalam kereta, kena belajar cara nak pandu pulak sebab gear dia kat tangan dan brek dia kat kaki. Mula-mula Aten yang pandu sampai kat Petronas, lepas tu aku pulak yang pandu.Sesiapa yang sewa Serena, tak payah isi minyak tangki penuh untuk 4 hari ye sebab kereta ni jimat minyak. Dah pusing satu pulau siap sesat-sesat pun luak separuh je. Rugi, rugi. Takpe, rezeki untuk penyewa seterusnyalah tu. Kitorang sewa kereta sehari RM 130 sehari. Sampai sana tengahari Sabtu dan balik sini pagi Selasa. Kalau ikut hari, 4 hari kan? Tapi kereta ni dia kira sewa tiga hari je jadi dapatlah RM 390. Ini harga bukan cuti sekolah ye, kalau cuti sekolah harga dia jadi RM 250 sehari. Selamat menabung! Hahaha... Serena adalah besar dan sedap dipandu dan rasa nak bawak balik je buat harta tapi tak boleh. Kalau terasa nak beli barang banyak, boleh pertimbangkan untuk sewa Serena ye.

Chik tengah isi borang sewaan..ke resit ek?

Brother yang hantar Serena

Sesi belajar memandu Serena

Lepas isi minyak, masa nak check in hotel awal lagi jadi pergi merayap dulu. Tempat pertama yang agak dekat ketika itu adalah Makam Mahsuri maka jomlah ke sana. Sampai sana tengok ramai orang dan ada gerai-gerai jual cenderahati dan benda-benda mengarut yang bikin poket rabak kalau tak kuat iman. Takpe, kita masuk dalam dulu tengok macam mana. Bila tanya tiket, harganya agak mahal sebab kami kedekut dan diorang semua dah pernah masuk, makanya diorang telah berjaya meyakinkan aku bahawa tidak berbaloi masuk dalam dengan harga tiket yang ditawarkan. Okeylah, aku ikut keputusan majoriti. Jadi, buat apa je pergi Makam Mahsuri? Ambik gambar syok sendiri depan pintu masuk dan beli topi 10 hengget. Hahaha... Sebab syarat nak bergambar tepi pantai kena pakai topi besar dan cermin mata hitam jadi semua orang kena beli kalau tak ada. Hani sorang je hade-aku-kesah-? jadi dia tak beli topi.

Bukti dah sampai kawasan makam

Wefie guna joran di tepi jalan sambil dilihat oleh pengunjung yang baru tiba dalam keadaan hujan renyai-renyai. Tapi, ada kitorang kesah? Hahahaha

Elok je keluar dari kawasan Makam Mahsuri tu, hujan turun selebatnya sepanjang jalan. Bila tengok jam, dah bolehlah kalau nak check in sebab memang mintak check in awal daripada waktu sepatutnya. Tapi perut masing-masing pun dah lapar jadi sibuklah cari kedai makan yang mendapat ulasan terbaik dari pelancong-pelancong lain. Malangnya hujan lebat jadi susah nak turun jadi aku teruskan pemanduan menuju ke pekan dengan kata sepakat bahawa kita berhenti je kedai makan mana-mana nanti. Dah hampir sampai pekan tu, nampak kedai nasi campur tepi jalan besar. Lauk dia ada baaaaanyak dan orang pun boleh tahan ramai. Sedap kot eh, maka mari kita makan dekat situ. Ada dua kedai bersebelahan; satu kedai ramai sangat manusia sampai rimas dan satu lagi kedai biasa-biasa je jadi kami ke kedai yang tak ramai orang tu iaitu Kedai Kak Ani. Masakan sedap dan harganya dikira murah! Dah siap makan, terus cari hotel. Cerita hotel sambung kemudian sebab dah penat menaip.

No comments: