Engagement Fund ;)

Thursday, 1 May 2014

KKMB 2014 - Episod 4: Hari Pertama di Bumi Seoul

Sebelum melalui pemeriksaan imigresen, kami perlu mengisi borang maklumat diri dan maklumat penginapan untuk diserahkan di kaunter. Kali ni tak boleh berlagak macam kat KLIA sebab dah tukar status jadi pelancong asing kan, kenalah beratur panjang dan tunggu giliran. Tapi tak lama pun. Dah selesai, ambik beg dan isi borang kastam pulak. Serah borang dan terus keluar. Pemandu pelancong tak sampai lagi maka berkampunglah kejap tunggu untuk dijemput. Waktu ni dah berlaku kekecohan sebab pengurusan asal yang menguruskan perjalanan kami tak kemaskini data dengan pengurusan sedia ada di Seoul. Sementara tunggu, aku, Za dan Mada keluar dari bangunan untuk merasai suhu pagi di Incheon. Sebaik saja melangkah melepasi pintu, angin sejuk menyapa pipi. Brrrrr...sejuk beb! Sarung jaket dan terus ambik gambar nak update status Facebook. Kahkahkah... Pelancong katanya.

Tak lama kemudian, pemandu pelancong kami sampai dan kami menaiki jumbo taxi untuk ke rumah tumpangan. Alhamdulillah tak naik subway sebab nak angkut beg besar gabak, turun naik tangga lagi, bercinta! Naik teksi terus ke rumah tumpangan. Rupanya rumah tumpangan kami tak seperti yang dimaklumkan dalam maklumat awal sebelum kami tiba di sana. Nak lagi best, pemandu pelancong kami tu orang Korea, lagilah susah nak komunikasi. Nak cakap Inggeris tak lancar sangat, tapi bolehlah. Dah cuak dah mula-mula kot kena culik ke apa kan sebab alamat asal penginapan lain tapi dibawa ke tempat lain. Bila WhatsApp ketua yang menguruskan pelancong di Korea, memang ada berlaku salah faham antara mereka dan kami yang terkena. Haiyo, lain kali jangan buat macam tu tau! Kesian kat pelanggan sebab sampai-sampai je dah ada masalah. Nak minum lemonade yang diberikan sebagai complimentary drink pun tak lalu. Eh? Hahaha... Rehat kejap; gosok gigi dan cuci muka je pun, tak dan nak mandi bagai sebab pukul 12.00 tengahari nak gerak keluar dah. Lagipun air paip dia sejuk macam air dari peti sejuk walaupun dah siang.

Maka aturcara lawatan pun turut berubah. Hari pertama di sana kami ke Gwanjang Market dan Cheonggye Stream. Dekat Gwanjang Market tak beli apa-apa pun, sekadar jalan-jalan melihat keadaan dan barang dagangan dan mencari tempat makan. Dalam Gwanjang Market memang ada satu tempat yang dikhaskan untuk makan tapi memang tak boleh makan apa yang dijual. Mula-mula ada beberapa kedai jual pelbagai jenis kimchi dan bertentangan kedai kimchi tu, ada kedai jual lempeng Korea. Lupa pulak nama dia. Kemudian ada lorong kecil dan di seberang lorong kecil tulah bermula kedai-kedai makan yang menjual daging oink oink. Sebab kami dah terlalu situ, tahan hidung jelah dengan bauan yang tak best. Jenuh cari tempat makan vegetarian sebelum jumpa kedai kimbap di bangunan seberang jalan, bertentangan Gwanjang Market. Satu yang aku perhatikan, kedai-kedai kat Korea ni saiznya kecik-kecik. Rombongan kitorang je masuk, dah penuh tempat duduk. Unnie order lima gulung kimbap inti tuna dan jejari ketam. Makanlah sampai kembung. Itupun tak habis, bungkus untuk sarapan esok sebab makan malam lain pulak.

Lima gulung kimbap yang besar..rasa dia macam sushi cuma gulungannya tak sekemas dan sepadat sushi

Sup taufu sedap

Perut dah diisi, mari bergambar depan kedai sebelum terus berjalan

Dari tempat makan, kami berjalan untuk ke Cheonggyecheon. Dalam perjalanan, kami lalu Jongmyo Shrine iaitu makam diraja. Singgah tengok kat luar je sebab tak sempat nak masuk. Lagipun nak masuk kena bayar jadi tak payahlah. Kita ambik gambar dekat pintu masuk dan taman belah luar je. Disebabkan sekarang musim bunga, maka berwarna-warni tempat tu dengan bunga-bunga yang sedang berkembang mekar.

Depan pintu masuk Jongmyo Shrine

Ambil peluang bergambar berlatarbelakangkan landskap cantik di perkarangan Jongmyo Shrine

Perjalanan diteruskan ke Cheonggyecheon; Cheonggye tu nama dia, cheon bermaksud terusan. Pemandangannya indah berlatarkan bangunan pencakar langit dan diserikan dengan pokok-pokok hijau yang tumbuh sepanjang terusan dengan bunyi air mengalir yang menenangkan. Kurang sikit serabut waktu mula-mula sampai tadi. Unnie ada juga terangkan pasal terusan ni tapi faham tak faham je sebab dia cakap tak berapa nak jelas. Hehehe... Kejap nak tengok nota. Okey, Cheonggye Stream ni memang terusan semulajadi tapi dah tercemar. Kemudian pada tahun 2005, kerajaan ambil inisiatif untuk memulihara terusan ni dan sekarang, ia menjadi salah satu tempat rekreasi dan tempat tarikan pelancong. Di dinding sepanjang terusan ni pulak, diukirkan gambar-gambar kronologi sejarah King Jeongjo. Gigih betullah orang yang membuat lukisan kat dinding ni. Setiap satu bahagian lukisan, ada dia punya penerangan. Tak daya nak baca semuanya. Dekat sinilah debunga berterbangan macam salji tu. Pedih hidung menyedut udara di sini.

Cheonggyechon

Tuan Tanah dan Unnie, pemandu pelancong Korea kami untuk 2 hari

Ahjussi ni sporting, rilek je bila diajak bergambar...beliau adalah staf Korea Tourism Organisation tak silap dan tugas beliau adalah berjalan-jalan di kawasan Cheonggyechon untuk memberi penerangan kepada pelancong

Salah satu keterangan untuk lukisan di dinding sepanjang Cheonggyechon



Kerana nak ambik gambar berlatarbelakangkan permulaan cerita King Jeongjo, kami selamba je duduk walaupun ahjumma tu tengah bagi penerangan pada sekumpulan pelancong..hehehe...terus jadi prop gambar sekali..


Tarikan di Cheonggyechon
Nampak yang berpusar belakang tu? Itu penanda permulaan Cheonggyechon

Belakang sana adalah terusan

Gwanghamun Square di hujung minggu; padat dengan manusia

Dari Cheonggyecheon, kami terus balik ke rumah penginapan dengan menaiki bas bernombor 273. Bas ni memang lalu depan rumah dan nak bayar guna T-Money Card, ala-ala Touch n Go la jugak. Dekat sanalah baru aku merasa naik turun bas, baru tahu rupanya kat Malaysia pun kalau guna Touch n Go cara dia sama. Kena scan kad waktu naik dan scan lagi sekali waktu nak turun. Aku memang tak reti naik kenderaan awam kat Malaysia ni. Kalau disuruh naik sendiri pun, nangis dulu baru cari jalan nak naik macam mana. Hahaha... Penakut punya orang.

Yang beratur tu adalah side dishes; kalau order hidangan nasi memang dia akan bagi. Makan lauk tu je pun dah cukup sebenarnya dan sayang je rasa bila ada yang tak habis. Yelah, ada yang kena dengan tekak, ada yang pelik di tekak. Sup dalam mangkuk kecik tu pun dapat percuma. Rasa dia masam-masam.

Hidangan utama, ikan panggang. Besar-besar ikan kat sana. Bak kata Mada, kalau diorang datang Malaysias, terkejut tengok ikan spesis sama tapi saiznya jauh lebih kecik. Hahaha...

Nasi beras hitam?

Sup tauhu makanan laut

Keadaan selepas...

Untuk makan malam, Unnie bawa kami makan kat restoran bawah rumah tumpangan tu je. Ada jual makanan laut yang memang itulah kami makan hari-hari sebab susah nak jumpa daging. Faham-faham jelah daging apa yang banyak kat sana kan. Ada dua kali je kot dapat makan ayam dengan daging. Itu nanti dalam episod seterusnya ye. Baru hari pertama ni, dah lap peluh nak menaip. Ada lagi 4 hari.

No comments: