Engagement Fund ;)

Friday, 25 April 2014

Kembara Korea Musim Bunga 2014 (KKMB 2014) - Episod 1: Persiapan Sebelum Pergi

Sementara masih cuti, jom kita tulis episod satu pengembaraan ni. Eceh, mengembaralah sangat kan! Penceritaan dalam blog ni adalah dari sudut pandangan Tuan Tanah dan mungkin ada juga yang dikaitkan dengan teman-teman jenayah Tuan Tanah yang turut serta dalam perjalanan ini. Sebarang ketidakpuashatian, sila mesej dalam kumpulan ye teman-teman. Hehehe.. Nak menulis ni tak ada masalah sangat. Kot lupa, boleh rujuk balik pamplet yang aku borong sampai sekilo tu. Tapi tang nak edit gambar tu yang menangis. Kamera telefon, kamera Note, dan kamera kompak aku dah 300 gambar. Tambah kamera telefon Mada, adalah dalam 200 keping kot; dalam kamera Za katanya ada 500 ++. Pengsannn!

Sebenarnya ada sedikit konflik pada awal perjalanan tapi yang itu akan aku ceritakan nanti untuk pengajaran pihak yang terkena dan pihak yang 'mengenakan'. Buat yang pertama kali terbang macam Tuan Tanah, wajib ada rasa cuak dan was-was tentang tempoh penerbangan dan sebagainya. Selain daripada membaca maklumat di laman web syarikat penerbangan, boleh bertanya kepada kawan-kawan yang dah selalu terbang. Macam aku, malam sebelum terbang tu siap paksa Kak Chik jangan tidur awal sebab nak tanya itu dan ini. Apa benda yang boleh bawa, apa benda yang tak boleh bawa. Terima kasih Sedari tolong saya 'bungkus' barang haritu. Hehehe...

Ini cerita kalau naik MAS, kalau naik AA mak incik tak tahu. Berat beg yang dibenarkan masuk kabin adalah 7 kg sahaja. Biasanya dalam beg ni isikanlah benda yang mungkin kita nak guna sepanjang perjalanan tu. Ubat-ubatan yang perlu, berus gigi, ubat gigi, jurnal, telekung, dan sebagainya. Kalau nak bawa mekap, pun boleh juga tapi pastikan kuantiti untuk sebotol tu tak lebih 100ml. Macam pencuci muka ke, bawa jelah yang travel set. Tapi aku tak masukkan dalam beg jugak sebab takut kena buang. Susah beb nak dapat travel set Clinique tu; kalau tak beli stok baru nan hado nak dapat melainkan dia buat promosi macam haritu. Air minum baik tak payah bawak la sebab takut kena buang jugak. Makanan macam biskut-biskut atau jajan tu boleh bawak masuk rupanya. Terkesima bila Kak Chik kata boleh. Hahaha... Barang-barang elektronik boleh angkut sekali jugak.

Waktu nak ke tempat daftar masuk tu, ada pemeriksaan barang dan badan. Telefon, jaket, jam tangan, tali pinggang kepala besi, semua kena buka dan letak dalam bekas untuk dia imbas sekali dengan beg kita. Waktu ni memang muka cuak la sebab takut ada benda besi tertinggal kat badan. Alhamdulillah selamat. Dua kali pemeriksaan dijalankan; sekali sebaik saja melepasi imigresen dan sekali sejurus sebelum masuk ke dalam kapal terbang. Selebihnya, ikutlah saja arahan yang diberikan. Itu cerita tentang terbang. Ini cerita tentang keperluan. Memandangkan kami pergi pada musim bunga, maka persiapannya juga berbeza. Apa yang perlu dibawa?
Ini merasmikan baju baru namanya..hehehe...baju ni pakai waktu ke Nami tapi tak nampak pun sebab pakai jaket..

1. Pakaian
Baju-baju untuk berjalan, ikut keperluan sendiri. Aku bawa sehelai baju untuk sehari. Maknanya ada 6 helai bajulah kalau pergi selama 6 hari. Tudung pun ikutlah, kalau ada baju yang sama warna, kita kitar semula aje tudung yang sama, jimat ruang beg. Musim bunga ni tak terlalu sejuk. Sedang elok suhunya untuk kita berjalan dengan selesa di sana tapi masih juga perlu pakai jaket. Beli jaket yang tak terlalu tebal untuk musim bunga sebab suhu pun sekitar 11 - 20 darjah celcius pada waktu siang. Walaupun ada matahari, kita tak berpeluh sebab angin sentiasa bertiup. Angin sejuk lagi! Kebas pipi dibuatnya. Aku beli jaket bundle je kat Aziemart sebab rasa membazir pulak beli sampai harga beratus walaupun jauh di sudut hati terasa nak kelihatan vogue dengan jaket bercorak terkini dan berwarna ceria. Eceh... Buat yang bersaiz besar macam mak incik, kena rajin tengok website dia selalu sebab susah nak dapat saiz besar. Sarung tangan pun boleh nak bawa sebab bila keluar waktu malam, memang dengan tangan sekali kebas dek kerana suhu yang dah jatuh jadi 10 - 7 darjah celcius.

Ini pun percubaan jugak, pakai sebab nak tanya Aten besar sangat ke tak jaket ni atau soalan mudahnya; "Aku nampak lagi gemuk tak bila sarung jaket ni?" Gituuu..sebabnya dia bentuk A jadi memang nampak kembang kat bahagian bawah. Tapi jaket ni memang best sebab berjaya menahan kesejukan...

2. Kasut
Kasut ni ikut kesesuaian. Mengembara bermakna akan banyak berjalan seperti yang telah kami lalui. Kami memang menggunakan khidmat pemandu pelancong tapi pakej ekonomi dimana kenderaan awam menjadi nadi utama untuk bergerak. Paling sesuai adalah kasut sukan yang dikhaskan untuk 'Running'. Kasut aku label 'Lifestyle' je sebab patah hati dengan Nike sebab semua kedai yang aku pergi dah habis saiz untuk kasut idaman tu. Sobsobsob... Memang tak ngam la kot aku dengan kasut mahal ni, akhirnya Bata jugak.
Ini kasut yang tak ada saiz tu..sengaja je semua kedai nak habis saiz kan? Lepas ni nan hado la aku nak beli dah...


3. Ubat-ubatan
Ubat-ubatan ni bergantung pada kita jugak. Tapi lebih elok sediakan payung sebelum hujan sebab kita tak tahu apa nak jadi di kemudian hari. Bila aku WhatsApp gambar ubat-ubat aku pada Kak Chik, dia gelak dan cakap aku teliti sebab macam-macam ubat aku bungkus. Hahaha... Nasib baik jugak bungkus krim serbaguna tu sebab tiba-tiba naik ruam. Bergunalah jugak sapu pada tempat ruam.
Dipek berasingan antara yang boleh dimakan dan tak boleh dimakan

4.Botol Kosong
Ini kritikal. Siapa yang tak tahu, tandas kat sana tak ada paip. Memang menangis la wei masuk tandas tengok tak ada paip. Tandas yang ada paip cuma dekat Seoul National Mosque. Alangkan tandas PICC pun aku dah garu kepala sebelum masuk, apatah lagi tandas di Korea. Penyelesaiannya, bawalah botol air mineral kosong untuk bersuci. Pandai-pandailah korang nak guna macam mana. Hehehe... Satu lagi botol kosong adalah untuk isi air minum. Takkan asyik nak beli air mineral kan? Jimat lagi bila isi air masak dari rumah tumpangan.

5.Makanan
Bila cerita bahagian ni, memang terasa nak gelak. Nak gelak kejap. Hahaha... Nasihat berguna buat anda, anda, dan anda yang bertekak DBKL dan mempunyai perut tong, tak payah beria bawak makanan banyak-banyak sebab tak sempat nak makan pun dan makanan diorang takdelah jauh beza sangat rasa dengan makanan Malaysia, lagi-lagi kami yang ambik pakej termasuk makan ni. Nasi ada, rasa pedas pun ada. Kitorang siap angkut mee segera, bubur segera, kopi segera, biskut berjenis-jenis dan sambal goreng. Makanan je penuh satu beg sandang tapi akhirnya tak luak. Kalau dah ambik pakej, tak perlu beria bawa makanan sebab kita memang akan cukup makan dan mereka akan bawa kita makan ke tempat yang best. Ada makanan Korea, ada juga makanan negara lain dan yang pasti boleh dimakan. Mujurlah aku tak angkut sambal belacan segera sekali haritu; kalau angkut, sahih tak terusik. Dah sampai tempat orang, tak lengkaplah kalau tak merasa makanan diorang kan?

Ini rupa beg sebelum dikunci..banyak kan stok makanan mak incik? Dalam beg hijau tu ada Ephyra dan kopi segera Agromas...dalam balutan kertas suratkhabar tu ada sambal goreng dan kacang parang...

Ini dia benda alah dalam balutan surat khabar, siap pek kecik-kecik kononnya senang nak bawak...tak pasti siapa yang bagi idea untuk pek macam ni, Kak Rin kot...akhirnya yang luak cuma sepaket kacang dan sepaket sambal goreng; selebihnya menjadi rezeki pemandu pelancong kami...


6. Lain-lain
Tisu lembap - Ini pun sebenarnya penting juga untuk lap tangan atau lap apa-apa yang patut. Mudah, praktikal dan ringan.

Lip balm - Benda wajib sebab cuaca sana adalah sejuk dan kering. Maka kita mudah terhidrat dan bibir pun cepat je nak kering dan menggelupas. Selepas bereksperimen, lip balm yang (plain) putih tu juga yang elok dan tahan. Guna Chubby Stick pun tak jalan.

Cermin mata hitam - Dekat sana, udara sejuk tapi matahari tetap ada. Ada masa sinarnya terik, ada masa redup je. Nak selamat, bawaklah cermin mata hitam. Selain melindungi mata dari terik mentari, ia juga melindungi mata daripada debunga yang berterbangan. Aku perasan bila jalan di kawasan yang banyak tumbuhan dan angin bertiup kuat, memang ada banyak debunga berterbangan. Macam salji turun pun ada jugak aku tengok. Terkibas-kibas depan muka nak elak debunga tu masuk dalam mata.

Kompas - Walaupun menggunakan khidmat pemandu pelancong, dia tak sentiasa ada disisi kita. Bila nak solat, tetap perlu cari kompas untuk tentu arah kiblat. Telefon semua dah canggih kan? Download jelah siap-siap ye.

Kalkulator - Ada yang kata perlu, ada yang kata tak. Tapi sebab aku kan poyo, semangat beli kalkulator warna hijau untuk tujuan mengira. Sudahnya tak guna pun. Sekali lagi, apa guna telefon canggih kan? Tekan kalkulator telefon sudah! Hehehe...

Travel adaptor - Benda ni buat aku pening dan fobia nak cucuk plug. Pening waktu nak cari di Malaysia dan fobia sebab dua travel adaptor dari Malaysia rosak bila aku guna. Dah kenapa? Stress weh tak boleh nak caj telefon dengan tablet. Aaaaaaaaa.... Jenuh aku tanya pemandu pelancong kami mana nak beli benda alah ni; sampai tiga ke empat kedai jugaklah mencari baru jumpa. Adaptor dari Malaysia adalah longgar bila dicucuk pada plug Korea. Tak tahulah itu ke punca mereka rosak atau memang mereka sengaja nak rosak. Nasib baik adaptor yang beli di sana boleh digunakan. Hangus 8000 won beli adaptor. Ishhh, boleh dapat brooch dua set tu. Oh ye, kalau nak beli travel adaptor boleh cari di pasaraya-pasaraya besar macam Econsave, Giant atau Tesco; pergi ke bahagian plug dan extension dan cari yang universal punya. Terima kasih Chik sebab bagi tahu. Korea ikut standard Europe, plug dua mata.

Powerbank - Benda ni pun kira penting dalam zaman serba moden ni. Telefon makin canggih, makin guna banyak bateri. Tak cukup satu telefon, nak kena ada yang besar pulak. Cukup la aku terputus hubungan dengan orang lain waktu bawa budak ke Kelantan tahun lepas gara-gara telefon habis bateri. Tersadailah aku dekat surau sampai acara orang lain habis sebab tak boleh nak telefon siapa-siapa. Nasib baik juga aku dah beli benda alah ni, kalau tak lagi stress telefon dengan Note tak hidup bila adaptor rosak tu.

Belum sampai sana, entri dah panjang berjela. Terima kasihlah yang rajin baca sampai habis. Sambungannya akan ditaip secepat mungkin sebelum terlupa.

2 comments:

Najwa Wawa said...

terima ksih utk info berguna ni..hehe

Najwa Wawa said...

terima ksih utk info berguna ni..hehe